Followers

Saturday, March 26, 2011

hilang sudah bintang hollywood


DIA adalah antara bintang sebenar pertama dan dewi layar perak paling hebat yang terakhir.

Dunia terpesona dengan kisah cintanya, yang menyaksikan dia berkahwin lapan kali, termasuk dua kali dengan legenda filem, Richard Burton.
kesakitan yang dialaminya gagal menyekat keghairahan pemenang Oscar berganda itu untuk terus menjalani kehidupan sehingga berjaya mengumpulkan RM150 juta untuk tabung Aids.

Penerbit filem veteran, Michael Winner berkata: “Elizabeth Taylor adalah bintang paling glamor yang terakhir. Dia adalah bintang filem paling lama dalam sejarah dan menjadi lambang kemuncak serta tragedi yang menarik orang ramai ke Hollywood.”

Liz yang meninggal dunia Rabu lalu pada usia 79 tahun, dilahirkan kepada sepasang suami isteri yang taat pada ajaran Kristian di Hampstead, London Utara pada 27 Februari, 1932. Bapanya ialah peniaga lukisan yang kaya raya sementara ibunya, bekas pelakon Broadway.


Liz mula belajar menari ballet pada usia tiga tahun. Keluarganya kemudian berpindah ke Los Angeles sebaik Perang Dunia Kedua meletus. Filem pertama lakonannya ialah There’s One Born Every Minute. Dia kemudian muncul dalam Lassie Come Home.

Pada usia 12 tahun, dia memperoleh watak utama pertamanya untuk filem yang mendapat sambutan hangat, National Velvet. Pada 1950, dia berjaya sebagai pelakon dewasa menerusi filem Spencer Tracy in Father of the Bride.

Dia berkahwin kali pertama dengan pewaris rangkaian hotel Hilton, Conrad Hilton Jnr pada usia 18 tahun. Mereka bercerai dua tahun kemudian dan 20 hari selepas itu, Elizabeth berkahwin pula dengan pelakon Britain, Michael Wilding.

Mereka mempunyai dua anak sebelum bercerai pada 1957. Tidak lama kemudian. Liz kahwin pula dengan suami ketiganya, penerbit filem, Michael Todd.

Mereka dikurnia anak perempuan tetapi masalah ketika kelahiran menyebabkan Liz tidak sedarkan diri dan tidak boleh beranak lagi.

Liz muncul dalam 60 filem dan siri televisyen. Filemnya termasuk National Velvet (1944), Little Women (1949), A Place in the Sun (1951), Beau Brummell (1954), Giant (1956), Cat on a Hot Tin Roof (1958), Butterfield 8 (1960), Cleopatra (1963), Who’s Afraid of Virginia Woolf? (1966), Anne of the Thousand Days (1969), Under Milk Wood (1972), A Little Night Music (1977), The Mirror Crack’d (1980) and The Flintstones (1994).

Kemunculannya dalam televisyen pula termasuk siri North and South (1985 dan menggunakan suaranya dalam siri The Simpsons pada 1989. Todd mati apabila pesawat peribadinya terhempas di New Mexico pada 23 Mac 1958. Mei berikutnya, Liz berkahwin dengan penyanyi, Eddie Fisher selepas dia meninggalkan isterinya, pelakon, Debbie Reynolds.

Pada 1961, Liz memenangi Oscar pertama menerusi watak pelacur dalam filem Butterfield 8. Sejak itu, dia muncul sebagai pelakon wanita paling glamor di dunia.

Apabila dia diminta berlakon dalam filem ‘kecil’ mengenai ratu Mesir, Cleopatra, Liz bergurau dengan meminta bayaran sebanyak AS$1 juta (RM3 juta) - jumlah amat besar ketika itu.

Penerbitnya bersetuju. Pelakon kelahiran Wales yang sudah beristeri ketika itu, Richard Burton dipilih untuk melakonkan watak Mark Anthony. Mereka berkenalan dalam filem itu lalu bercinta. Ketika kos penggambaran bertambah, begitu juga dengan cinta mereka.

Liz dan Burton akhirnya berkahwin pada 1964, setahun selepas Cleopatra diterbitkan. Mereka menjelajah seluruh dunia dan menetap di Mexico, Switzerland, Yugoslavia dan Hollywood.

Peminat melihat dengan kagum mengenai bagaimana Burton ‘memanjakan’ Liz dengan kot mink paling mahal di dunia, berlian 69 karat dan rantai bertatahkan permata yang pernah dimiliki oleh pembina Taj Mahal. Untuk mengeratkan lagi hubungan mereka, pasangan itu mengambil seorang anak angkat perempuan.

Mereka muncul bersama dalam beberapa filem dan hasil pendapatan mereka bersama menjangkau lebih RM500 juta, termasuk filem Who’s Afraid of Virginia Woolf? yang membolehkan Liz meraih Oscar kedua.

Burton yang meninggal dunia pada 1984 ketika berusia 58 tahun pernah berkata: “Saya dan Elizabeth tinggal di pinggir satu gunung berapi yang menarik. Saya meletup dengan ganas kira-kira dua kali setahun. Dia juga akan meletup. Walaupun menyeronokkan, ia boleh membunuh.”

Mereka bercerai pada Julai 1974 dan kemudian berkahwin semula di Botswana, Afrika, pada Oktober 1975.

Burton menghadiahkannya cincin bertatahkan 72 berlian. Mereka bercerai semula sembilan bulan kemudian dan cincin itu dijual dengan harga RM10 juta untuk membiayai pembinaan sebuah hospital di kampung tempat mereka berkahwin.

Pada 1976, Liz, penyokong Demokrat, berkahwin dengan ahli politik Republikan, John Warner.

Katanya: “Apa yang saya inginkan dalam cinta ialah pendekatan lelaki sejati, tangan yang bersedia memeluk saya dengan erat. Saya mahu dicintai dengan kasih sayang kerana hidup saya bergantung padanya.”

Tetapi Liz, wanita yang tidak tahu duduk diam, begitu sukar untuk memainkan peranan sebagai isteri Senator dan mereka bercerai pada 1982.

Sejak itu, Liz berdepan dengan tekanan perasaan dan banyak bergantung pada ubat, Dia berusaha mententeramkan hati dan perasaan dengan makan dan minum arak berlebihan.

Dia terpaksa menjalani rawatan di sebuah pusat pemulihan, Di situ, dia berkenalan dengan pekerja binaan, Larry Fortensky.

Mereka berkahwin pada 1991 meskipun lelaki itu 20 tahun lebih muda daripadanya. Namun, ia sempat juga bertahan selama empat tahun.

Majlis perkahwinan itu berlangsung di kediaman Michael Jackson, Neverland. Liz menjalinkan hubungan akrab dengan Michael dan kemudian turut menjadi pesakit dan sahabat pakar kulitnya, Dr Anold Klein. Tetapi hubungan itu terputus selepas kematian Michael.



Liz pernah bercakap mengenai perkahwinannya: “Saya dibesarkan oleh sebuah keluarga yang bermoral tinggi dan saya tidak boleh menyesuaikan diri dengan menjalinkan hubungan luar. Ia bermakna, jika saya jatuh cinta dengan seseorang, saya mahu kami berkahwin secara sah.”

Pada 2000, dia dikurniakan bintang penghormatan dengan gelaran ‘Dame’ daripada Istana Buckingham.

Mengenang kembali perjalanan kehidupan, Liz pernah berkata: “Saya memperoleh segala-galanya - kejelitaan, kemasyhuran, penghormatan dan kasih sayang. Tetapi, itu semua disertai dengan bencana, kematian begitu ramai sahabat baik, sakit teruk, ketagihan dan keruntuhan rumah tangga.”

Dalam wawancara terakhirnya dengan sebuah majalah fesyen bulan lalu, Liz berkata: “Saya tidak pernah mengimpikan emas berlian berlonggok atau suami yang banyak.

“Bagi saya, ia takdir. Saya mungkin bernasib baik dan sudah tentu saya sedar saya hanya pemilik sementara segala yang saya ada.”

Pada tahun-tahun terakhirnya, Liz lebih banyak menghabiskan masa di rumahnya di Bel Air, California. Dia bertarung dengan penyakit barah otak dan kulit dan dalam tempoh 25 tahun, Liz menjalani lebih 100 pembedahan, termasuk pembedahan jantung.

Dia mati di Hospital Cedars-Sinai, Los Angeles akibat sakit jantung.
Anaknya, Michael, 58, berkata: “Ibu saya seorang wanita luar biasa yang hidup dengan penuh kasih sayang dan riang.”


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Text-Ads